Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) menjalankan aktiviti sosial dengan mengedarkan 3,500 helai topeng muka secara percuma kepada pengguna lebuh raya.

Agihan tersebut sebagai inisiatif bagi memastikan kesihatan orang awam berada dalam keadaaan baik berikutan masalah jerebu dan kualiti udara yang semakin menurun terutamannya di sekitar Lembah Klang.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (Projek dan Operasi) Prolintas, Ir. Rostam Shahrif Tami, pengedaran topeng muka tersebut bermula sejak 5 September lalu di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) sebelum berakhir di Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK), hari ini.

“Selain mengedar topeng muka, kami juga mengedarkan risalah yang mengandungi informasi mengenai bahaya jerebu.

“Ini merupakan di antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Prolintas yang merangkumi pelbagai aspek penjagaan alam sekitar seperti pendidikan, dan pembangunan insaniah yang dilakukan sepanjang tahun,” demikian menurut beliau dalam satu kenyataan, pada Selasa.

kami juga mengedarkan risalah yang mengandungi informasi mengenai bahaya jerebu. Gambar Prolintas

Dengan adanya aktiviti sedemikian, jelasnya ia dapat memberikan kesedaran terhadap bahaya jerebu serta membantu mengurangkan risiko pencemaran udara sekaligus menyumbang tahap kesihatan yang baik.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lima kawasan di Selangor menunjukkan tahap tidak sihat setakat pukul 5 petang ini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU di Shah Alam adalah 135, Klang (114), Banting (119), Klang (160) dan Petaling Jaya (144).