Semua sekolah di Kuching dan Sri Aman diarah tutup Selasa berikutan jerebu teruk, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Azhar Ahmad menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, arahan telah dikeluarkan kepada semua sekolah berhubung prosedur operasi standard (SOP) bencana jerebu, iaitu penutupan sekolah jika bacaan IPU berada dalam kategori amat tidak sihat.

Setakat jam 9 malam ini, Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman telah mengeluarkan arahan tutup, yang melibatkan lima sekolah menengah dan 36 sekolah rendah.

BACA: Jerebu Sarawak: Tiga kawasan catat IPU sangat tidak sihat

Sehingga jam 9 malam ini juga, IPU di Sri Aman merekodkan bacaan 224, manakala Kuching merekodkan bacaan 229.

Meskipun begitu, sekolah-sekolah yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) masih meneruskan peperiksaan tersebut, dan keputusan untuk menangguhkannya akan dilakukan jika bacaan IPU mencecah 300.

Sementara itu, pihak jawatankuasa pengurusan bencana negeri telah mengedarkan 69,000 topeng muka untuk 713 sekolah di bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah dan Sibu.