Kementerian Pendidikan telah mengarahkan semua sekolah di beberapa negeri ditutup pada Khamis, 22 Oktober ekoran situasi jerebu yang kian merosot.

Sekolah-sekolah terbabit adalah di Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur; Perak; Pulau Pinang; Kedah; Perlis; daerah Bentong di negeri Pahang serta Bahagian Kuching, Bahagian Samarahan, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong di negeri Sarawak.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, penutupan itu susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan tersebut, masih mencatatkan bacaan tidak sihat.

"Penutupan ini akan melibatkan sejumlah 4,778 sekolah dan seramai 2,696,110 orang murid di negeri dan daerah tersebut.

"Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah terlibat hendaklah memaklumkan kepada sekolah-sekolah dan ibu-bapa mengenai penutupan ini dengan kadar segera," jelas kenyataan itu.

Hari ini juga kebanyakan sekolah ditutup akibat jerebu.