Berikutan keadaan jerebu yang melanda negara, pengurusan sekolah di seluruh negara diberi kuasa autonomi untuk menutup sekolah tanpa perlu menunggu pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr Ahmad Rafee Che Kassim, Prosedur Operasi Standard (SOP) tersebut terpakai apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi bacaan 200.

Jelasnya, SOP itu salah satu autonomi yang diberikan kepada sekolah dalam melaksanakan keputusan mengikut lokaliti masing-masing.

“Kalau sebelum ini mungkin kita tunggu pengumuman daripada kementerian sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“Namun dalam keadaan jerebu, sekolah boleh membuat keputusan dan memantau dapatan bacaan IPU di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Rafee, pengurusan sekolah juga boleh merujuk kepada Jawatankuasa Bencana Daerah sebelum memaklumkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) masing-masing mengenai penutupan sekolah.

Ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak kononnya kuasa kementerian dipintas oleh kerajaan negeri, Ahmad Rafee bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

Ujarnya, keadaan tersebut tidak berlaku kerana ia selaras dengan kebajikan dan keselamatan guru-guru serta murid.

“Namun begitu, bidang kuasa sepertimana dalam surat siaran (SOP) adalah bidang kuasa sekolah untuk diumumkan sama ada tutup atau sebaliknya.

“Jadi, ia tidak melanggar atau bercanggah dengan pengumuman lain (kementerian),” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut menyarankan agar menggunakan laman web EduWebTV yang disediakan KPM bagi melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Jelasnya, EduWebTV telah lama diperkenalkan dan boleh diakses secara percuma.

“Semua guru dan murid boleh mengakses menggunakan ID log masuk (ID login) yang telah dibekalkan kepada mereka.

“Melalui portal ini, mereka boleh mengakses bahan pembelajaran seperti buku teks digital dan sumber pendidikan lain bagi membuat latihan dan tugasan secara individu mahupun berkumpulan serta melaksanakan pentaksiran,” katanya.