Selepas semua 220 sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) di daerah Muar dan Tangkak, Johor diarah tutup Ahad berikutan jerebu, sekolah-sekolah di daerah Pontian turut diarah melakukan yang sama.

Terbaharu, Jabatan Pendidikan Johor memutuskan semua 100 sekolah, tadika dan Kolej Vokasional di daerah tersebut ditutup pada esok (Ahad) susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 220.

Keputusan itu dibuat Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan berdasarkan bacaan terakhir IPU berkenaan di Pontian yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang ditakrifkan tidak sihat selain trend bacaan menaik.

"100 sekolah, tadika dan Kolej Vokasional ini melibatkan 29,200 murid, 2,772 guru dan 750 kakitangan. Semua ibu bapa perlu dimaklumkan bahawa murid sekolah dan tadika tidak perlu hadir ke sekolah pada esok.

"Manakala guru bertugas seperti biasa dengan menjalankan tugas-tugas lain di sekolah seperti mana kandungan surat siaran KPM yang berkaitan.

"Mohon patuhi semua SOP berkaitan jerebu yang dikeluarkan oleh KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Pada Sabtu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri, Aminolhuda Hassan berkata 220 sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) di daerah Muar dan Tangkak, ditutup yang membabitkan lebih 40,000 pelajar keseluruhannya.