Tutup

Jerebu: Tiada keperluan tutup sekolah di Melaka esok

Jerebu: Tiada keperluan tutup sekolah di Melaka esok
Semalam, Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan sangat tidak sihat iaitu 222 manakala kategori tidak sihat masing-masing di Alor Gajah (163) dan Bukit Rambai (194). - Gambar fail/BERNAMA
MELAKA: Tiada sebarang keperluan untuk penutupan semua 315 buah sekolah di seluruh negeri Melaka pada esok memandangkan situasi jerebu di negeri itu direkodkan semakin baik, hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, berdasarkan Laporan Indeks Pencemaran Udara (IPU), yang merekodkan bacaan kualiti udara semakin menurun, pihaknya memutuskan tiada keperluan bagi penutupan semua sekolah pada esok, setakat ini.
Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak 315 sekolah rendah dan menengah di Melaka melibatkan sebanyak 148,901 murid serta pelajar.

Ujar Abu Bakar, merujuk kepada trend bacaan IPU sejak tengahari tadi bertambah baik, sekolah-sekolah akan beroperasi seperti biasa pada esok.

Bagaimanapun, pegawai pengurusan bencana di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing akan memaklumkan sama ada sekolah di daerah masing-masing ditutup atau diteruskan, mengikut keperluan.

Ujarnya, pihak sekolah boleh merujuk kepada Pegawai Pengurusan Bencana di setiap PPD berhubung keperluan menangguhkan sesi pembelajaran sekiranya situasi kembali memburuk.

Terdahulu, bacaan kualiti udara di laman web Sistem Pengurusan Udara Malaysia (APIMS) hari ini  merekodkan paras tidak sihat pagi ini berbanding sangat tidak sihat, semalam.

Bacaan kualiti udara,  di stesen Bandaraya Melaka mencatatkan IPU 123, Alor Gajah (112) dan Bukit Rambai (118) pada jam 2 petang tadi.

Semalam, Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan sangat tidak sihat iaitu 222 manakala kategori tidak sihat masing-masing di Alor Gajah (163) dan Bukit Rambai (194).


Tag: Alor Gajah, jerebu, sekolah, pelajar, pendidikan, Malaysia, sekolah dibuka, Datuk Abu Bakar Sahari, Pengarah Pendidikan Negeri, Laporan Indeks Pencemaran Udara, IPU, sekolah ditutup



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.