Indonesia hari ini memberi jaminan jerebu rentas sempadan tahun ini tidak akan seserius tahun lepas berikutan tindakan drastik yang diambil untuk mencegah kebakaran hutan di negara itu.

Penasihat Kanan Mengenai Tenaga kepada Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Arief Yuwono berkata Jakarta mempunyai komitmen kukuh untuk mencegah kebakaran hutan, dari peringkat presiden hinggalah ke peringkat akar umbi.

"Kami ada banyak inisiatif ketika ini dan malah mempunyai arahan daripada presiden yang perlu diterjemahkan menteri kami ke dalam bentuk tindakan di peringkat akar umbi.

"Sebagai contoh, pengemblengan 700 penduduk kampung yang bersiap sedia untuk memerangi kebakaran hutan di peringkat akar umbi. Kami juga mengukuhkan penyelarasan kami antara kerajaan pusat dengan gabenor tempatan serta penglibatan sektor swasta.

"Apabila kami buat perbandingan antara 2015 dan 2016, saya percaya berdasarkan ramalan terkini kami, jerebu akan berkurangan, tidak begitu serius, hanya berskala kecil," katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Ke-12 Persidangan Pihak-pihak Kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-12) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ditanya sama ada Jakarta akan meminta sokongan ASEAN bagi memerangi kebakaran hutan, Arief berkata mereka akan menggunakan sumber sendiri terlebih dahulu untuk melindungi kedaulatan negara itu.

Katanya, mereka yang bertanggungjawab dalam kebakaran hutan akan dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang dan peraturan.

Mengulas tentang penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi memudahkan kerjasama dan sumbangan dalam kalangan negara anggota pertubuhan itu bagi menangani pencemaran jerebu, Arief berkata Jakarta merancang menganjurkan satu bengkel berkaitan isu berkenaan tahun ini.

Pewujudan pusat penyelarasan itu dicadang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan mesyuarat itu pagi ini.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata Malaysia sedia membantu Indonesia memadam kebakaran hutan dengan mengerahkan pasukan bomba dan penyelamat serta asetnya seperti pesawat amfibia.

"Ketika ini, mereka mahu menggunakan kemampuan dan keupayaan negara mereka sendiri. Jadi, kita perlu menghormati pendirian itu kerana mereka mempunyai inisiatif sendiri," katanya.

Mengenai mesyuarat itu, Wan Junaidi berkata para menteri ASEAN bersetuju menerima pakai Pelan Hala Tuju mengenai Kerjasama ASEAN bagi Mengawal Pencemaran Jerebu Bersama-sama Kaedah Pelaksanaan.

Menurut beliau, pelan hala tuju itu akan menjadi rangka kerja strategik bagi pelaksanaan tindakan bersama untuk mengawal pencemaran jerebu rentas sempadan di rantau ASEAN ke arah mencapai wawasan ASEAN Bebas Jerebu Rentas Sempadan menjelang 2020.