Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan beberapa individu lain yang dikehendaki berhubung skandal 1MDB dipercayai sedang bersembunyi di China.

Jho Low dikatakan berada di Macau namun, China menafikan terlibat menyembunyikan penjenayah itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, seorang wanita yang dipercayai bertanggungjawab menghantar dokumen kepada Jho Low telah ditahan di bandar raya berkenaan tahun ini, lapor AFP.

Ia sekali gus menyebabkan pihak berkuasa Malaysia yakin ahli perniagaan itu turut berada di situ.

Pada masa sama, Abdul Hamid turut menggesa pihak berkuasa China bekerjasama membantu memburu ahli perniagaan itu.

"Jho Low hampir bebas menjalankan perniagaannya di Macau. Kami mahu pihak berkuasa dan polis di Macau untuk bertindak dengan penuh tanggungjawab," katanya kepada AFP.

Beliau turut berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil dipercayai berada di Hong Kong dan bekas pegawai 1MDB, Jasmine Loo berada di Shenzhen, China.