Bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, merujuk dollar US dan Ringgit sebagai 'pie' dan 'satay' bila mengendalikan transaksi membabitkan akaun Datuk Seri Najib Razak.

Joanna Yu Ging Ping, 48, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh pada hari ke-45 perbicaraan bekas perdana menteri itu berkaitan pelesapan wang RM42 juta dari dana SRC International Sdn Bhd.

Yu merujuk kepada log bualan di Blackberry antara beliau dan Jho Low, di mana Jho Low menggunakan istilah 'pie' dan 'satay' terutama berkaitan aliran masuk wang asing yang besar ke dalam akaun Najib.

Harvinderjit: Mengapa gunakan sebutan nama 'pie' dan 'satay'?

Yu: Itu apa yang Jho Low gunakan dalam bualan Blackberry messenger.

Harvinderjit: Pie, Dollar US, satay adalah ringgit?

Yu: "Ya".

Harvinderjit menerangkan satu arahan oleh Jho Low bagi memindahkan dana RM50 juta setiap satu ke dalam tiga akaun Najib dengan Jho Low merujuk kepada RM50 juta sebagai 50 satay".

Sebelum itu, Jho Low merujuk kepada dollar US sebagai "pie" bila pengembalian US$620 juta diuruskan.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukannya, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-- BERNAMA