Jihad yang dibawa kumpulan militan Daish bukan jihad yang sebenar seperti yang didakwa mereka kerana ia amat bertentangan daripada ajaran agama Islam, kata Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan
Islam (Jakim) Ruslan Said.

Beliau berkata Islam tidak menganjurkan aktiviti keganasan seperti yang dilakukan Daish.

"Pejuang Daish hanya melakukan perkara-perkara yang sia-sia dan kematian yang mereka mahukan bukanlah syahid.

"Ia terpesong dengan akidah umat Islam kerana Islam adalah agama yang mencintai keamanan," katanya ketika berucap pada sidang khas 'Ancaman Daish Bertapak di Malaysia' di dewan besar Utusan Melayu, di sini hari ini.

Sidang khas itu diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai keseriusan ancaman Daish terutama golongan muda kerana golongan itu menjadi sasaran untuk direkrut menjadi ahli.

Roslan berkata penglibatan rakyat Malaysia dalam perjuangan Daish disebabkan sifat ehsan atau kasihan melihat kesengsaraan umat Islam di luar negara.

Ia juga didorong dengan sifat yang ingin memberitahu dunia bahawa perjuangan Daish adalah Islam dan jihad, katanya.

Fello Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia (UIAM) Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata umat Islam di negara ini perlu memperkasakan diri dengan ilmu fiqah kerana perjuangan angkat senjata bukanlah semata-mata jihad.

"Selain itu, berbakti kepada ibu bapa juga merupakan jihad.

"Terdapat satu kisah di mana seorang anak muda dilarang Rasulullah untuk menyertai peperangan dan disuruhnya pulang kerana berbakti kepada ibu bapa itu juga adalah jihad, katanya.