Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 39 warga asing dalam operasi bersepadu, Ops Hijau yang dijalankan secara serentak di tujuh lokasi ladang sayur dan bunga yang didominasi pekerja asing di Kuala Terla, Cameron Highlands, Khamis lepas.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataannya hari ini berkata, operasi berkenaan dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Dalam operasi tersebut, seramai 59 warga asing diperiksa dan 39 daripada mereka ditahan. Mereka yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki warga India, 12 lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Nepal dan seorang wanita warga Myanmar yang disyaki bekerja tanpa permit yang sah di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu, enam majikan warga tempatan dikenakan notis untuk hadir ke pejabat JIM bagi memberi keterangan, katanya.

-- BERNAMA