Tindakan pantas seorang jiran membantu menyelamatkan seorang lelaki warga emas yang mahu terjun dari tingkat sebuah pangsapuri di utara tanah air, sejak pagi tadi menjadi viral di laman sosial.

Menerusi video berdurasi satu minit 10 saat itu, turut kedengaran jiran-jiran di kawasan perumahan tersebut cuba memujuk warga emas berkenaan untuk tidak membunuh diri.

Warga emas tersebut bagaimanapun berjaya diselamatkan, termasuk dibantu oleh seorang jirannya, yang merupakan Ketua Cawangan Bersatu Jalan Perak (Jelutong), Rahman Syed Mohamed.

Memetik laporan MStar, Rahman, 49, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi Selasa di kawasan perumahannya di Flat Sri Wonder, Lorong Perak di Jelutong, Pulau Pinang.

Katanya, dia pada ketika itu sedang menonton televisyen terdengar bunyi orang berjalan perlahan-lahan di luar rumah dan menyangka ada cubaan mencuri.

Jelasnya, apabila keluar rumah, dia melihat ramai penduduk cuba pujuk jirannya yang juga seorang warga emas sudah berdiri di atas tembok daripada cubaan membunuh diri.

“Pasukan bomba pun sudah tiba di tempat kejadian. Dalam proses memujuk itu, saya mengambil risiko untuk tarik pakcik ini di bahagian lutut dari arah belakang.

“Alhamdulillah, pakcik ini cuba bunuh diri disebabkan tekanan akibat penyakit yang dialaminya, berjaya diselamatkan,” katanya.

Ketika kejadian, isteri warga emas itu sedang tidur di rumah dan difahamkan selepas diselamatkan, jirannya itu dihantar ke hospital oleh keluarganya untuk menerima rawatan.

Rahman yang merupakan pengusaha restoran di kawasan kejiranan itu berkata dia nekad untuk menyelamatkan jirannya bagi mengelakkan kejadian tak diingini.

“Memang berisiko tinggi, tapi saya yakinkan diri demi keselamatan dan nyawa dia.

Saya tarik dia sekuat hati,” katanya yang turut mengalami cedera ringan dalam insiden itu. Rahman yang tinggal di pangsapuri itu bersama keluarganya hampir 20 tahun berkata, penduduk setempat perlu prihatin dan membantu dalam menangani insiden seperti ini.

“Jangan bila dah nampak hanya duduk diam atau sekadar rakam saja. Sebagai jiran, kita perlu membantu dan mendapatkan kerjasama daripada jiran-jiran lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat, Jalan Perak, Jelutong, Wan Chik Ariffin Md Ismail yang mengetuai operasi itu ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku awal pagi Selasa.

“Kita menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.06 pagi dan tiba di tempat kejadian di Flat Sri Wonder di Lorong Perak seminit kemudian.

“Kita berjaya menyelamatkan warga emas berusia 62 tahun. Kita mendapat laporan daripada jiran-jiran lelaki ini trauma dan mempunyai masalah kesihatan. Pihak polis kemudian tiba untuk memberikan bantuan,” katanya.