Dosa individu yang gagal melunaskan hutang termasuk pinjaman bank tidak akan terampun kecuali dihalalkan oleh si pemiutang walaupun matinya sebagai mati syahid.

Bahkan, jiwa orang yang berhutang juga akan tergantung selagi mana individu berkenaan tidak melunaskan hutangnya terlebih dahulu.

Hutang merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan dengan secara adil dan hukum untuk melangsaikannya sebagai satu akad antara sesama manusia adalah wajib.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hutang pinjaman bank juga termasuk dalam hutang yang wajib dibayar.

“Mereka akan diancam dengan ancaman yang berat di dalam hadith sekiranya sengaja tidak mahu membayarnya.

“Bagaimanapun, terdapat pelbagai cara untuk memastikan pinjaman tersebut dilunaskan antaranya seperti mengambil pelan takaful bagi menjamin pembayaran hutang dan sebagainya,” katanya dalam satu sesi soal jawab dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau turut berkata, mana-mana individu yang pernah melakukan pinjaman harus memastikan komitmen mereka itu dapat dilunaskan memandangkan hutang merupakan al-dayn al-muajjal (hutang yang boleh ditangguhkan).

Justeru, ia boleh ditangguhkan kepada masa-masa tertentu sekiranya mempunyai kekangan.

Oleh itu, masyarakat dinasihati supaya berusaha sedaya-upaya mengelakkan diri daripada berhutang kecuali jika diyakini mampu untuk membayarnya semula.