Semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa meningkatkan usaha untuk memastikan anak-anak muda yang layak mengundi di kampung masing-masing, mendaftar sebagai pemilih.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata JKKK perlu melaksanakan peranan sebagai penolong pendaftar pilihan raya selepas mereka diberi kuasa oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftar pemilih.

"Pelantikan JKKK sebagai penolong pendaftar pilihan raya sudah lama dilakukan dan ia dilihat berkesan," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah Anugerah Desa Perdana (ADP) peringkat negeri 2017 Zon Utara di Behrang di sini, hari ini.

Beliau berkata langkah melantik pengerusi JKKK melaksanakan tugas berkenaan adalah keputusan tepat kerana ia merupakan institusi yang mengenali penduduk kampung secara lebih dekat selain dapat memupuk kesedaran rakyat tentang tanggungjawab bernegara dalam sistem demokrasi berparlimen.

SPR dalam kenyataannya sebelum ini berkata seramai 4.1 juta rakyat Malaysia, yang majoritinya terdiri golongan muda pelbagai kaum yang berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Sementara itu, Nanta berkata pelaksanaan ADP merupakan platform kerajaan bagi menghargai dan mengiktiraf kepimpinan kampung yang bersungguh-sungguh mentadbir kampung secara bermuafakat dan cemerlang.

"Penglibatan kampung tradisional dan kampung Orang Asli dalam pertandingan itu turut menzahirkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepelbagaian corak kepimpinan dan pengurusan kampung-kampung di negara ini," katanya.

Menurutnya melalui pertandingan yang melibatkan 568 kampung tradisional dan 20 kampung Orang Asli di seluruh negara, kerajaan menyasarkan tiga objek utama iaitu merealisasikan program transformasi luar bandar yang lestari dan menyuburkan semangat patriotisme di peringkat akar umbi selain memajukan sosio-ekonomi desa yang mapan.

Pada majlis itu, Kampung Kuala Slim di sini dipilih menjuarai kategori kampung tradisional bagi Perak manakala Kampung Wang Ulu di Kangar bagi Perlis, Kampung Sungai Itau di Langkawi (Kedah) dan Kampung Paya Kongsi di Balik Pulau (Pulau Pinang).

Bagi kategori kampung Orang Asli Perak, Kampung Ulu Bekor di Kuala Kangsar dipilih menjadi johan.

KKLW-JKKK 3 (AKHIR) TANJUNG MALIM

Kesemua johan bagi setiap negeri menerima RM12,000 dan sijil pengiktirafan daripada KKLW selain layak bertanding di peringkat kebangsaan.

ADP membariskan lapan aspek utama iaitu Patriotisme dan Kemasyarakatan; Kepimpinan dan Pentadbiran; Pendidikan dan Latihan; Ekonomi dan Keusahawanan; Pemerkasaan Peranan Belia, Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi; Kebersihan, Kesihatan dan Keceriaan serta Pengawasan Infrastruktur Asas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan hadiah ADP 2017 peringkat kebangsaan di ibu negara pada 22 Ogos ini.

-- BERNAMA