Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kadar jenayah dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kanak-Kanak JKM Kelantan, Nurul Shafiqah Auni Abdullah berkata kembimbangan tersebut susulan terdapat peningkatan kadar jenayah melibatkan kanak-kanak direkodkan oleh pihaknya.

"Januari sehingga Mac tahun ini kita merekodkan 153 kes jenayah kanak-kanak dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 559 kes sepanjang Januari sehingga Disember tahun lepas.

"Kami mendapati jenayah dadah merupakan antara tertinggi melibatkan kanak-kanak di negeri ini iaitu terjebak dalam jenayah ini seawal usia 10 tahun sekali gus terlibat dengan jenayah mencuri dan sebagainya," katanya.

Nurul Shafiqah berkata kadar jenayah dadah paling tinggi berikutan negeri ini berada berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand menyebabkan bekalan mudah didapati.

"Oleh itu kami perlu lebih pantas memainkan peranan dengan memberikan informasi bagi mencegah kanak-kanak di negeri ini supaya tidak terlibat dengan jenayah dadah," katanya.

Beliau berkata selain jenayah dadah, kanak-kanak masa kini turut mudah terlibat dengan jenayah seksual sehingga berlaku jenayah pembuangan bayi.

"Maklumat yang negatif yang didedahkan di media sosial menyumbang kepada berlakunya pergaulan bebas iaitu melibatkan kanak-kanak dengan orang terdekat sama ada rakan di sekolah dan kenalan terdekat.

"Mereka perlu diberi pendedahan sewajarnya kerana mereka mudah terpengaruh dengan perkembangan teknologi sehingga kadangkala maklumat yang mereka dapat melebihi kami dan orang dewasa," katanya.

-- BERNAMA