Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memantau keadaan di Rumah Seri Kenangan Johor Bahru di sini yang dilanda tanah runtuh pada Rabu bagi memastikan ia selamat dan kejadian itu tidak berulang, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pelancongan Wanita negeri Liow Cai Tung.

Beliau berkata kejadian yang berlaku petang Rabu itu berpunca akibat hujan lebat, menyebabkan gelinciran tanah di bahagian belakang sebuah asrama pusat berkenaan yang turut mengakibatkan pagar besi rumah jagaan warga emas itu runtuh.

"Nasib baik kejadian ini tidak mendatangkan kehilangan nyawa atau kecederaan kerana tindakan pantas diambil semua petugas rumah ini," katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberi bantuan keperluan asas kepada penghuni rumah jagaan itu, pada Khamis.

Beliau berkata kejadian itu setakat ini menjejaskan 88 daripada 340 keseluruhan penghuni rumah tersebut.

Katanya kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan untuk membaiki pagar runtuh itu melalui pihak JKM.

Sementara itu, Liow berkata JKM akan turut memberi bantuan barangan asas bagi keperluan selama tiga hari kepada mangsa banjir di enam kawasan di Johor Bahru pada Rabu, walaupun mereka telah dibenar pulang ke rumah masing-masing pada Khamis.

Enam kawasan terjejas banjir kilat itu ialah Kampung Hajah Hasnah, Kampung Bendahara, Kampung Mohd Amin, Jalan Kijang , Kampung Sri Paya Larkin dan Jalan Hujung, Kampung Melayu Majidee.

Ekoran kejadian itu, dua pusat pemindahan dibuka namun satu daripadanya telah ditutup petang Khamis, menjadikan hanya sebuah sahaja masih beroperasi.

Pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Nong Chik itu menempatkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga.

-- BERNAMA