Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan untuk menjadi agen perubahan dalam melaksanakan konsep pembangunan mapan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, biarpun JKR banyak menjalankan kerja bersifat teknikal, tetapi perlu menjadi peneraju inovasi baru dalam industri pembinaan.

"JKR jangan hanya melihat kerjanya sebagai membina bangunan sahaja walaupun itu merupakan tugas utama.

"Kita perlu melihat apakah kaedah kita itu boleh membantu kepada pencapaian apa juga indeks prestasi utama (KPI) lain untuk negara kita, samada boleh membantu ke arah pemilikan rumah mampu milik mahupun pendidikan luar bandar yg lebih selesa," katanya ketika berucap merasmikan Menara Kerja Raya di sini hari ini.

Menara Kerja Raya merupakan bangunan kerajaan pertama yang memperoleh Penarafan Green Building Index (GBI) tahap Platinum. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Pesan beliau lagi, Malaysia mempunyai teknologi yang lebih baik dan terkini malah kerajaan tidak takut untuk mencuba dan mengusahakan penggunaan hasil inovasi anak Malaysia.

"Inilah semangat kita bila kita melihat bangunan menara yang gah dengan tersergam indah ini, tetapi lebih daripada itu.

"Ia bukan kerana bangunan semata-mata, tetapi inspirasi yang terhasil dalam menggalakkan pemikiran serta tindakan yang inovatif," tambahnya.

Menara Kerja Raya merupakan bangunan kerajaan pertama yang memperoleh Penarafan Green Building Index (GBI) tahap Platinum.

Bangunan setinggi 37 tingkat atau 175 meter dibina dengan kos RM309 juta dan telah siap pada 15 April 2015.

Ia ini dimiliki sepenuhnya Kementerian Kerja Raya dan beroperasi sebagai Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya.