Johor berhasrat mengkaji semula caj bekalan air mentah ke Singapura yang belum dinaikkan sejak 1962.

Kadar sekarang, iaitu tiga sen bagi 1000 gelen air mentah, dilihat tidak wajar dan terlalu rendah, berikutan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Negeri Johor Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, keputusan menaikkan kadar caj terbabit terletak kepada kerajaan persekutuan kerana ia melibatkan perbincangan kedua-dua negara.

“Singapura menerima 250 juta gelen air mentah dari kita manakala kita hanya menerima 16 juta gelen air terawat daripada Singapura setiap hari. Kita telah membawa hujah bagi kenaikan harga ini kepada kerajaan Pusat yang akan membawa perkara berkenaan kepada Singapura," katanya.

Jelasnya, mengikut perjanjian antara dua negara tersebut pada tahun 1961-1962, Malaysia membekalkan kira-kira 250 juta gelen bekalan air mentah dengan caj tiga sen bagi seribu gelen.

Manakala singapura menjual air yang telah dirawat kepada Malaysia dengan kadar 50 sen untuk seribu gelen.

Dari 250 juta gelen yang dijual, Malaysia hanya mampu membeli air yang telah dirawat dua peratus iaitu 16 juta gelen sehari.

Tambahnya, kerajaan negeri bersedia membentangkan hujah serta fakta sekiranya diperlukan bagi menyokong hasrat mengkaji semula kadar caj air mentah kepada republik itu. Kerajaan pusat akan menentukan perkara tersebut sebelum akhir tahun ini.

"Diharapkan tiada masalah apabila Malaysia membincangkan perkara ini dengan pihak Singapura dan kerajaan negeri percaya ia dapat diselesaikan akhir tahun ini," katanya.