Kerajaan Johor akan menjual air mentah kepada Singapura pada nilai yang berpatutan sesuai dengan keadaan semasa.

Nilai tersebut mungkin sama dengan nilai air mentah yang dijual kepada Melaka iaitu 1,000 gelen dengan kadar 50 sen atau kurang.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata namun, nilai baharu itu tidak akan sama dengan nilai jualan sedia ada sekarang kepada Singapura iaitu 3 sen bagi 1,000 gelen air mentah.

Perkara tersebut tercetus selepas pertemuan dengan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lepas.

Tambahnya, kerajaan Johor akan membuat perbincangan secara mendalam dan meneliti semula perjanjian harga air dengan Singapura.

“Sudah sampai masa untuk naikkan (harga jualan air mentah). Mungkin kita akan naikkan sebagaimana kadar yang dijual pada Melaka.

“Atau lihat dalam perundingan semula, mungkin (harga yang akan dijual pada Singapura) kurang daripada harga itu (Melaka) tetapi tak mungkin kekap dengan harga sekarang ini.

“Kita akan semak perjanjian harga air dengan Singapura untuk teliti sama ada boleh laksanakannya atau tidak. Ini perlu bincang dengan lebih mendalam. Saya rasa kalau kerajaan Johor nak naikkan harga pada kadar berpatutan, Singapura akan terima kerana itu harapan kita,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa menghadiri sambutan Hari Raya Aidil Fitri Kumpulan Prasarana Rakyat Johor di Iskandar Puteri.

Pada 25 Jun lalu, Mahathir ada menyebut tentang harga semasa jualan air mentah kepada Singapura yang ‘tidak masuk akal’ dan mahu membuat rundingan semula tentang perkara itu.

Mengikut perjanjian air semasa yang berakhir pada tahun 2061, Malaysia membekalkan air mentah kepada Singapura sebanyak 250 juta gelen setiap hari pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen.

Kemudian, Malaysia membeli semula air yang telah dirawat dari republik itu pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.