Johor merekodkan penurunan 31 peratus atau 1,414 kes demam denggi dan kematian sebanyak 50 peratus iaitu tujuh kes, sejak Januari sehingga 21 Julai lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata 3,110 kes demam denggi dengan tujuh kematian direkodkan dalam tempoh berkenaan berbanding 4,524 kes dengan 14 kematian dalam tempoh yang sama, tahun lepas.

"Walaupun Johor menunjukkan prestasi baik dalam penurunan kes kematian akibat denggi, ia masih lagi penyakit berjangkit paling utama dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

"Prestasi baik ini didorong jalinan kerjasama antara pelbagai kementerian dan agensi melalui Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Johor bertemakan 'Komuniti ASEAN Membanteras Denggi' di sini, pada Ahad.

Sahruddin berkata penjagaan kebersihan turut merupakan faktor penting dalam memastikan penyakit berjangkit seperti denggi berada dalam keadaan terkawal dan dikurangkan terutamanya di kawasan boleh menyebabkan air bertakung.

"Kita menjangkakan jumlah kes denggi akan kembali meningkat selepas musim panas iaitu penghujung September. Untuk itu, saya menyeru kepada orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan awal.

"Kebersihan memainkan peranan penting kerana sekiranya persekitaran kita bebas daripada air bertakung dan berada dalam keadaan bersih, kes denggi tentunya akan turun. Kita perlu ingat mencegah itu sentiasa lebih baik daripada mengubati," katanya.

Sahruddin seterusnya meminta orang ramai supaya segera berjumpa dengan doktor sekiranya mengalami demam berterusan lebih tiga hari.

"Simptom awal demam denggi adalah demam kemudian diikuti sakit perut, muntah, kesan dehidrasi serta ruam.

"Dalam kes-kes kritikal, pesakit boleh mengalami pendarahan pada kulit, hidung dan bibir selain mengalami rasa sakit pada bahagian sendi-sendi badan," katanya.

Sementara itu, berkaitan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), Sahruddin berkata ibu bapa memainkan peranan amat penting dalam memastikan anak-anak yang mengalami demam terus dibawa ke klinik untuk mendapat rawatan bagi membendung peningkatan penyakit tersebut.

"Ada segelintir ibu bapa membiarkan anak mereka demam dengan jangkaan ia demam biasa. Ini sikap yang salah dan tidak boleh dijadikan amalan kerana kita tidak tahu apa punca sebenar demam itu," katanya. -- Bernama