Pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven meraih gelaran sulung Kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia 2019 selepas mengatasi rakan senegara Cheam Jun Wei dalam perlawanan akhir di Arena Badminton Perak, di sini, hari ini.

Beraksi di hadapan kira-kira 500 penonton, Joo Ven yang juga pilihan utama kejohanan menang straight set 21-13, 22-20 ke atas Jun Wei dalam perlawanan yang berlangsung selama 47 minit.

Joo Ven, ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, mengakui beliau gembira kerana berjaya memenangi kejohanan buat pertama kali sejak ia mula diperkenalkan pada 2016.

Beliau berkata, meskipun ia bukan kejohanan besar namun rata-rata pemain yang beraksi pada kali ini mempunyai kualiti yang baik terutama daripada aspek kemahiran dan permainan.

"Saya gembira kerana memenangi kejohanan kali ini walaupun secara keseluruhan ia bukan sesuatu yang mudah kerana rata-rata pemain yang beraksi mempunyai kualiti.

Mengulas lanjut, pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 24 tahun itu. berkata, sasarannya pada tahun ini adalah untuk beraksi di kejohanan lebih besar dan sekurang-kurangnya berada pada kedudukan ranking ke-40 dunia.

"Saya sekarang berada pada kedudukan 66 dunia dan mungkin dengan kemenangan ini akan melonjakkan kedudukan ke-55 dunia," katanya.

Sementara itu, dalam acara beregu wanita, pasangan negara, Pearly Tan-M. Thinaah mengesahkan kejuaraan selepas menumpaskan pasangan dari Indonesia Febriana Dwipuji Kesuma-Ribka Sugiarto dalam permainan rubber set, 21-16, 11-21, 21-18.

Kecemerlangan itu bagaimanapun gagal diteruskan dalam acara beregu lelaki, apabila pasangan negara Low Hang Yee-Ng Eng Chong tumpas kepada pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Martin 21-17, 17-21, 11-21.

Kem negara terus dirundung malang apabila impian pemain wanita negara, Eoon Qi Xuan untuk mengejutkan pilihan ketujuh dari Indonesia, Sri Fatmawati berkecai selepas tumpas 19-21, 8-21 dalam perlawanan akhir yang berlangsung selama 34 minit.

-- BERNAMA