Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memerlukan aset udara seperti helikopter sebagai tambahan kepada operasi menyelamat agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Ketua Pengarahnya Datuk Zaitun Ab Samad berkata penambahan aset melibatkan operasi di udara amat diperlukan selepas mengambil kira pengalaman yang ditempuhi agensi berkenaan ketika berdepan bencana banjir besar melanda pantai timur Disember tahun lepas.

"Berdasarkan pengalaman berdepan musibah banjir Disember tahun lepas, kita memang memerlukan kemudahan helikopter selain bot amfibia untuk kerja-kerja membantu menyelamatkan mangsa.

"Walaupun kita mempunyai bot dan lori tetapi kita berdepan kekangan untuk sampai ke lokasi mangsa berada akibat paras air yang dalam dan arus deras (air banjir)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkhemahan Intergrasi Kadet Pertahanan Awam (KAPA) Peringkat negeri Kelantan 2015 di sini hari ini.

Zaitun berkata daripada pengalaman itu juga, JPAM sedang meneliti kaedah penempatan yang lebih selesa kepada mangsa di pusat pemindahan banjir.

"Kita lihat perlu ada satu sistem pembahagian di pusat penempatan banjir sama ada berbentuk papan lapis atau khemah bagi memberi sedikit keselesaan kepada mangsa yang perlukan ruang yang lebih privasi," katanya.

Beliau berkata JPAM perlu diperkukuhkan fungsinya dengan aset-aset tambahan bagi memastikan ia sentiasa bersiap siaga ketika berlakunya bencana yang melibatkan masyarakat.

Katanya, sehingga kini terdapat 850,000 anggota JPAM seluruh negara dan pihaknya turut menyasarkan 100,000 penyertaan sukarelawan dengan agensi berkenaan pada JPAM setiap tahun.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan beliau turut menyempurnakan acara Pemakaian Pangkat Guru Teknikal kepada 30 guru penyelaras kadet yang menyertai perkhemahan empat hari di Kem Kijang itu.