Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengheret pemandu kenderaan yang dikesan menggunakan lorong kecemasan di KM228 Lebuhraya Utara-Selatan, di Melaka, Ahad lepas, ke mahkamah kerana menghalang laluan ambulans.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk V.Valluvan berkata pihaknya memandang serius perbuatan menggunakan lorong kecemasan sehingga menjadi punca ambulans itu lewat tiba di lokasi kemalangan berhampiran susur keluar Simpang Ampat.

"JPJ Melaka sudah diarahkan menyiasat rakaman video kejadian yang diperoleh daripada orang awam bagi mengenal pasti kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan itu dan daripada penelitian, kita dapati sebanyak 91 kenderaan
menggunakan lorong berkenaan.

"Daripada 91 kenderaan itu, tujuh daripadanya termasuk tiga kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sudah dikenal pasti menghalang laluan ambulans dan akan dihadapkan ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pegawai dan anggota penguatkuasa JPJ Johor, di sini hari ini.

Valluvan berkata siasatan seterusnya akan digiatkan bagi mengesan pesalah laku selebihnya supaya mereka turut dibawa ke muka pengadilan, sekali gus menunjukkan JPJ bertindak tegas berhubung kejadian terbabit.

Beliau berkata tindakan pengguna jalan raya yang gagal memberi laluan kepada pihak penyelamat termasuk ambulans, bomba dan sebagainya adalah menyalahi undang-undang dan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 9 dan 53 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Katanya, mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan denda RM4,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan kedua.

Valluvan juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian di laluan itu supaya tampil membuat aduan dan bekerjasama dengan JPJ dengan mengemukakan bukti bergambar serta video jelas yang menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan yang melalui laluan tersebut.

Orang ramai katanya boleh menyalurkan maklumat kepada [email protected].