JPJ Sabah siasat video tular pegawai pukul orang awam

Ridzal Abdullah
Januari 10, 2020 09:28 MYT
Paparan skrin video berdurasi 45 saat yang mula tular sejak pagi Jumaat dan menurut maklumat awal, kejadian itu berlaku di Jalan Sandakan ke Lahad Datu. - Foto ihsan pembaca/media sosial
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menyiasat video tular melalui WhatsApp memaparkan seorang penunggang motosikal dipukul individu yang baru turun dari sebuah kenderaan JPJ.
Timbalan Pengarah JPJ Sabah, Datuk Abdul Rahman Zakaria, ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang giat menjalankan siasatan berhubung video terbabit.
Sebuah video berdurasi 45 saat mula tular sejak pagi Jumaat dan menurut maklumat awal, kejadian itu berlaku di Jalan Sandakan ke Lahad Datu.
Video tersebut memaparkan seorang individu yang sedang menunggang sebuah motosikal berada di tepi jalan raya berdekatan sebuah parit.
Dua individu kemudiannya keluar dari kenderaan JPJ dan terus menuju ke arah penunggang motosikal terbabit.
Salah seorang daripada individu yang turun dari kenderaan JPJ itu kemudiannya memukul penunggang motosikal berkenaan.
Bagaimanapun, perincian mengenai kejadian terbabit masih belum diperolehi setakat ini.
#dikasari JPJ #dipukul JPJ #Jabatan Pengangkutan Jalan #Jalan Sandakan #JPJ #JPJ Sabah #Lahad Datu #penunggang motosikal