Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menasihatkan masyarakat Orang Asli supaya tidak membina sekatan pembalakan di kawasan masing-masing walaupun keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengiktiraf tanah di Pos Belatim, Gua Musang tanah adat mereka.

Pengarahnya Datuk Zahari Ibrahim berkata mana-mana pihak khususnya Orang Asli yang membina sekatan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) boleh dikenakan tindakan kerana ia menyalahi Enakmen Perhutanan Negara 1984.

"JPNK akan menjalankan tindakan meroboh sebarang sekatan yang dilakukan oleh masyarakat Orang Asli jika ia berlaku selepas ini.

"Kita juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan itu selaras dengan keputusan mahkamah yang lepas," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Ahad lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz memutuskan tanah seluas 9,300 hektar di Pos Belatim, Gua Musang, kekal sebagai tanah adat Orang Asli.

Beliau turut membatalkan perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan negeri untuk membangunkan projek Ladang Rakyat seluas 1,000 hektar di kawasan berkenaan. -- BERNAMA