Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) diarah untuk mencari jalan penyelesaian berhubung virus penyakit anjing gila atau rabies yang kini turut dikesan di Taiping, Perak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata jabatan itu perlu bertindak segera supaya virus berkenaan tidak merebak ke daerah lain sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

"Kalau ada wabak, perlu lakukan apa yang perlu, vaksin atau kuarantin mereka di kawasan terlibat dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu ambil tindakan segera.

"Cumanya sekarang ini saya difahamkan mungkin ada sedikit masalah berhubung apa tindakan yang jabatan itu ambil sehingga belum betul-betul berkesan dan saya harap mereka dapat segera mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media hari ini yang melaporkan DVS mengesahkan menerima aduan pada 13 Julai lepas mengenai seekor anjing yang disahkan positif rabies dan mempunyai pemilik telah menggigit dua kanak-kanak perempuan di Kuala Sepetang.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dilaporkan berkata anjing itu mati selepas lapan hari menggigit kanak-kanak berusia 11 tahun iaitu anak pemilik haiwan berkenaan dan anak saudaranya berusia 12 tahun.

Kedua-dua kanak-kanak terbabit sudah dibawa ke Pusat Kesihatan Kuala Sepetang untuk cucian luka dan suntikan tetanus sebelum mereka dimasukkan ke Hospital Taiping dan masih berada di sana menunggu pengesahan DVS bagi memulakan suntikan vaksin.

Sementara itu, Tajuddin berkata beliau sendiri memantau perkembangan virus rabies itu secara dekat dan teliti bagi memastikan tidak berlaku penularan serta tindakan segera dapat diambil.

Katanya DVS juga telah melakukan pelbagai langkah pencegahan terbaik sehingga kini seperti memperluaskan radius suntikan dan akan menambah jumlah vaksin anjing dan kucing mengikut keperluan semasa.

-- BERNAMA