Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) hari ini menerima sebuah peranti pengesan bahan kimia dikenali sebagai "TruNarc" yang boleh mengesan dadah, sumbangan Pentadbiran Penguatkuasaan Anti Dadah (DEA) Amerika Syarikat.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata alat mudah alih bersaiz kecil itu mampu mengesan bahan yang disyaki mengandungi dadah sama ada dalam bentuk cecair atau serbuk dalam tempoh kurang tiga minit.

Katanya alat berkenaan berupaya mengesan sehingga 5,000 jenis bahan kimia yang merangkumi jenis-jenis dadah dan bahan letupan.

"Alat ini lebih berkesan dan tepat dalam mengesan dadah. Terima kasih kepada DEA yang menyumbangkan alat ini yang dapat memudahkan kami mengenal pasti kandungan dadah.

"Kami sememangnya mempunyai perancangan untuk membeli peralatan ini dan sedang menunggu kelulusan bajet daripada Kementerian Dalam Negeri," katanya kepada Bernama pada Majlis Serah Terima Peralatan Mengesan Dadah "Trunarc" daripada DEA kepada JSJN di Bukit Aman, di sini hari ini.

Peralatan berkenaan diserahkan oleh Atase DEA Joseph Lipp kepada Mohmad.

Mengulas mengenai kerjasama JSJN dan DEA, Mohmad berkata hubungan itu terjalin sejak 2004 dan mencatatkan 45 kejayaan operasi setakat ini yang menyaksikan rampasan 1.7 tan dadah jenis metamfetamina, heroin (46kg), ganja (30kg), ketamin (4.5kg) dan cecair ketamin (265kg).

Selain itu, setiap tahun pegawai-pegawai JSJN akan menyertai latihan dan kursus yang dianjurkan oleh DEA antaranya 'Tactical Safety and Planning Course' di Bangkok dan 'Conspiracy and Complex Investigation Course' di Sarawak, katanya. -- Bernama