Kegiatan sepasang suami isteri yang menggunakan aplikasi Facebook dan WhatsApp sebagai medium untuk menjual komponen motosikal secara atas talian akhirnya terbongkar selepas mereka bersama dua lagi ditangkap dalam serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy berkata, keempat-empat suspek ini dipercayai aktif melakukan kegiatan ini sejak beberapa tahun lalu dan menggelarkan kumpulan mereka sebagai Geng Maliki.

Katanya, modus operandi yang dilakukan oleh kumpulan berkenaan ialah dengan menjual komponen atas talian di mana suspek lelaki mencuri komponen dan rangka kenderaan manakala suspek perempuan pula berperanan untuk menjualnya kepada pembeli.

"Dalam operasi Op Lejang dan Ops Bersepadu Cegah Jenayah yang dilakukan baru-baru ini, pihak polis membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir Golok, Ketereh dan menahan pasangan suami isteri yang berumur 22 dan 26 tahun atas maklumat orang awam dan risikan polis.

"Ketika serbuan dilakukan, kami merampas beberapa motosikal termasuk rangka dan komponennya yang berada di dalam rumah suspek dan disyaki ia dicuri.

"Susulan daripada penahanan pasangan ini, pihak kami berjaya menahan dua lagi lelaki yang masing-masing dari Kampung Binjai Manis, Ketereh dan Kampung Mengketil, Pangkal Meleret, Machang yang berusia 30 dan 32 tahun.

"Kami berjaya merampas komponen dan rangka motosikal yang dicuri oleh kumpulam ini sejak Mac hingga mereka ditangkap pada November lalu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, di sini, hari ini.

Ganti berkata, setelah tangkapan dibuat, hasil siasatan mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dengan beberapa kes jenayah membabitkan kecurian motosikal dan pancuan empat roda.

"Hasil soal siasat mendedahkan tiga suspek lelaki aktif dalam kes kecurian membabitkan 11 kes iaitu motosikal sebanyak lapan kes dan kenderaan jenis pacuan empat roda tiga kes.

"Ujian saringan awal urin yang dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek lelaki ini didapati mereka positif dadah," katanya.

Katanya, suspek utama dalam dalam kes ini mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes rompakan berkumpulan mencuri motosikal selain rogol.

"Ketiga-tiga suspek lelaki ini sudah dituduh di Mahkamah Majistret Machang pada 28 November lalu di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 414 KK dan Seksyen 411 KK, manakala suspek wanita dijadikan saksi pendakwaan," katanya.

Beliau berkata, melalui tangkapan kesemua suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan banyak kes kecurian yang berlaku sekali gus dapat mengurangkan jenayah curi kenderaan di daerah ini.