Jualan Amal Patriot Rock Melon dilakukan Agro Gold Industries dengan kerjasama Yayasan Patriot Negara dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menjadi contoh kepada usaha membeli sambil menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia (THM).

Ia disasar memperoleh sekurang-kurangnya RM30,000 sepanjang dua hari acara amal itu.

Jualan amal itu dibuka kepada orang ramai dan mereka boleh membeli buah rock melon yang dijual pada harga RM15 sekilogram.

Kira-kira separuh daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada THM dan Maahad Tahfiz Anawiyyah di Hulu Langat.

Lebih menarik, menurut Pengarah Kreatif Yayasan Patriot Negara, Yann Razal, pembeli turut diberi peluang memetik sendiri buah rock melon berkenaan.

"Sesiapa yang datang membeli dan beramal, mereka juga berpeluang memetik sendiri buah rock melon. Tawaran petik dan beli rock melon itu diteruskan sehingga 15 Julai ini," katanya semasa ditemui pada acara amal berkenaan.

Turut hadir merasmikan jualan amal itu ialah Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus dan ADUN Dusun Tua, Edry Faizal Yusof.

Setakat jam 3 petang 6 Julai, Tabung Harapan mencecah lebih RM142 juta.

Mereka yang berminat untuk ke ladang rock melon berkenaan boleh ke Agro Gold Industries, Lot 870, Jalan Sungai Sop, Batu 14, Hulu Langat, Selangor.

Jualan Amal Patriot Rock Melon berakhir pada Ahad.