Lazimnya, bila tiba Hari Raya, peniaga lemang pastinya tidak menang tangan melayan tempahan pelanggan.

Ada juga yang sampai tak tidur dibuatnya dek kerana memenuhi permintaan orang ramai.

Bagaimanapun akibat penularan wabak COVID-19, tahun ini keadaannya agak berbeza. Permintaan masih ada namun tidaklah sehebat dan semeriah tahun-tahun sebelumnya.

Raya tahun ini yang disambut dalam kelaziman baharu ternyata memberi kesan kepada peniaga lemang apabila jualan mereka tidak sehebat tahun-tahun sebelum ini.

Peniaga lemang di Hulu Kelang, Batriah Najib Hasbi merupakan salah seorang yang terjejas di mana jualannya pada tahun ini agak merudum jika dibandingkan dengan Aidiladha tahun lepas.

“Tahun lepas biasanya jualan mencecah 2,000. Kalau hari pertama, hari raya boleh sampai dalam 4,000 ke 5,000 batang lemang, terus berlarutan macam itu. Sekarang, terjejaslah sikit sebab ada COVID-19,” katanya kepada Astro AWANI.

Raya tahun ini yang disambut dalam kelaziman baharu ternyata memberi kesan kepada peniaga lemang apabila jualan mereka tidaklah sehebat tahun-tahun sebelum ini.

Situasi sama juga dihadapi seorang lagi peniaga, Noor Hadayyu Rohani yang merasakan raya tahun ini di Kuala Lumpur agak lengang.

Mungkin kerana tidak dapat pulang ke kampung pada Aidilfitri, ramai mengambil kesempatan untuk pulang pada Aidiladha.

“Kita masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sambutan kurang kalau nak dibandingkan dengan tahun sebelum ini. Sebabnya macam raya puasa, ramai orang tak balik kampung, jadi ramai orang di Kuala Lumpur.

“Jadi raya haji semua orang balik kampung, Kuala Lumpur agak lengang jadi sambutan itu agak kurang sikit dengan perniagaan pada raya tahun ini kalau nak dibandingkan tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Tahun ini juga menyaksikan ibadah korban dan solat sunat Aidiladha juga akan dilaksanakan dalam kelaziman baharu dan tinjauan mendapati masjid sudah pun bersedia untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Salah satunya ialah Masjid As-Sobirin di Lembah Keramat yang memastikan setiap kariah mematuhi SOP terutamanya ketika menunaikan solat sunat Aidiladha.

“Waktu solat kita di sini pada pukul 8 pagi, masjid dibuka pada jam 7 pagi untuk pendaftaran dan pendaftaran untuk jemaah adalah secara walk in, maknanya yang datang itu daftar di situ.

“Tapi untuk mudahkan walk in, kita keluarkan borang awal. Jemaah boleh ambil borang dan esok datang, letak borang dalam kotak, periksa suhu dan masuk. Itu nak mudahkan aliran jemaah, tidak berlaku panjang berbaris,” ujarnya.

Bagi ibadah korban pula , SOP yang ketat turut diamalkan malah hanya petugas dibenarkan terlibat dengan mereka turut diberikan uniform khas.

Bagi ibadah korban pula, SOP yang ketat turut diamalkan malah hanya petugas dibenarkan terlibat dengan mereka turut diberikan pakaian seragam khas.

“Korban nanti kita mengikut SOP yang diarahkan oleh JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor), bilangan lembu adalah terhad, di sini kita hanya buat tiga ekor lembu sahaja.

“Kita hanya menggunakan 20 orang petugas. Di sini kita akan sembelih, lapah, potong enam dan bawa ke masjid untuk kerja-kerja menyisih, memotong, menimbang dan kita edarkan,” katanya lagi.