Jumlah mangsa banjir di Kedah pada tengah hari ini menurun kepada 480 orang berbanding 550 orang pagi tadi yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Mejar (PA) Imran Azemi, setakat 12 tengah hari, sebanyak empat PPS dibuka di Kota Setar, lima di Baling dan satu di Kubang Pasu.

Di Kota Setar, seramai 194 mangsa daripada 62 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah sementara di PPS SK Gunung ada 102 mangsa merangkumi 35 keluarga, PPS Surau Aassyakirin (60 mangsa daripada 21 keluarga) dan PPS SK Suka Menanti (39 orang daripada 11 keluarga).

"Daerah Baling ialah di PSS Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derom dengan enam mangsa daripada empat keluarga, dan PPS Dewan Risda Kampung Tanjung Pari dengan 15 mangsa daripada tujuh keluarga," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, mangsa banjir yang ditempatkan di tiga PSS di Baling iaitu di Dewan Batu 60, PPS Dewan Kampung Weng Luar di Mukim Siong dan PSS Dewan Orang Ramai Keda Batu 8 telah dibenarkan pulang.

Katanya, di Kubang Pasu, satu pusat dibuka di PSS Lubuk Batu membabitkan 64 mangsa daripada 16 keluarga.

Imran berkata kejadian banjir kilat itu disebabkan hujan lebat yang melanda sejak Isnin. -- Bernama