Jumlah mangsa banjir di Terengganu merekodkan peningkatan kepada 503 orang daripada 149 keluarga setakat pukul 10 malam ini berbanding hanya 49 orang daripada 12 keluarga pagi tadi.

Peningkatan mangsa banjir itu disebabkan pembukaan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kuala Nerus mulai pagi tadi susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Marang merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 358 orang (107 keluarga) yang kini berada di empat PPS iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing, SK Marang dan SK Pasir Putih.

Mengikut laporan portal Info Banjir, seramai 45 orang (15 keluarga) ditempatkan di satu PPS di Kuala Terengganu iaitu di SK Chendering manakala 34 orang (sembilan keluarga) dipindahkan ke satu PPS di Dewan Sivik Paka, Dungun.

Di Kuala Nerus pula, 45 orang (12 keluarga) dipindahkan ke dua pusat pemindahan iaitu SK Bukit Nenas dan SK Bukit Guntong.

Jumlah mangsa banjir di Besut pula kekal tidak berubah seperti pagi tadi iaitu 21 orang (enam keluarga) di SK Tembila.

Mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran pada pukul 9.45 malam, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu masih merekodkan bacaan 21.52 meter (m) melebihi paras bahaya 21.50m manakala Sungai Chalok di Jambatan Chalok, juga di Setiu merekodkan bacaan 8.33m melebihi paras amaran 7.70m.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata cuaca mendung, hujan renyai dan sesekali lebat di sesetengah kawasan dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

"Penduduk perlu sentiasa berhati-hati dan mengikuti perkembangan semasa daripada agensi berkaitan untuk mengetahui situasi banjir terbaharu di sekitar kawasan mereka," katanya.

-- BERNAMA