Tiga lagi mayat mangsa bot pancung karam pada malam Selasa lalu ditemukan menjadikan jumlah korban setakat ini 14 orang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata satu mayat ditemukan pada pukul 12.30 tengah hari kira-kira 1.5 batu nautika dari Kuala Punggai.

Dua lagi mayat dijumpai pada pukul 6.45 petang, masing-masing di perairan Kuala Punggai dan Tanjung Penawar.

Kesemuanya merupakan mangsa lelaki.

Beliau berkata dengan penemuan itu, mayat yang ditemui hari ini adalah seramai lima orang termasuk dua mayat lelaki yang ditemukan di perairan Pantai Batu Layar dekat Sungai Rengit pagi tadi.

Para mangsa merupakan antara 60 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang menaiki bot tersebut dalam perjalanan menuju Batam, Indonesia.

Bot tersebut dilapor karam akibat dipukul ombak. Seramai 34 penumpang terselamat dalam kejadian itu.

Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan.