Jumlah mangsa yang dipindahkan akibat banjir bagi negeri Sarawak setakat jam 8 malam ini menurun kepada 1,012 orang.

Menurut laporan yang dikeluarkan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), jumlah berkenaan merangkumi 260 buah keluarga dan ditempatkan di 3 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Sibu, Mukah dan Bintulu.

"Berdasarkan jumlah itu, PPS di Bintulu iaitu di Dewan Sukan Tatau mencatatkan jumlah tertinggi mangsa yang terpaksa dipindahkan iaitu seramai 602 orang.

"Ini diikuti PPS di bahagian Sibu menempatkan 382 mangsa dan terakhir, PPS di Mukah dengan jumlah 28 mangsa," menurut laporan itu.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), terdapat 43 buah sekolah yang masih ditutup, membabitkan 3,809 murid, 569 guru dan 248 staf bukan guru yang terjejas akibat banjir.

Dalam pada itu, beberapa pihak seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan tentera hari ini turut turun melakukan operasi menghantar bekalan kepada mangsa banjir.

Unit Udara JBPM menghantar 14 tan bekalan makanan untuk keperluan 4,354 penduduk terjejas banjir di negeri ini menggunakan helikopter Mi-171.

Pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Farhan Sufyan Borhan ketika ditemui di Dewan Sukan Tatau berkata, misi menggunakan helikopter itu akan diteruskan esok melibatkan penghantaran ke Rumah Barat yang terletak di Ulu Sungai Anap, juga dalam Daerah Tatau.