Kes penipuan melibatkan sindiket 'Love Scam' bukan satu isu baharu di Malaysia.

Di Sarawak khususnya, jumlah mangsa penipuan dilapor meningkat kepada tiga kes untuk tiga bulan pertama tahun 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supritendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata jumlah angka penipuan setakat ini adalah RM1.1 juta dan merupakan kerugian kedua tertinggi melibatkan penipuan di negeri Sarawak.

“Oleh kerana perkara ini berlaku di media sosial, kami mengambil pendekatan sama menggunakan platform sama menyalur maklumat kepada mangsa dan untuk menasihati mangsa termasuk masyarakat umum,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Antara lain katanya, penting bagi pengguna media sosial untuk tidak mudah mempercayai modus operandi yang digunakan pemangsa untuk menjerat mangsa yang dijadikan sasaran.

“Kita jangan sesekali percaya terus kepada orang yang kita kenali di media sosial itu, terus jatuh cinta tanpa bersua muka ataupun hanya berdasarkan video, video ini pun boleh dimanipulasi oleh sindiket," ujarnya.

Tahun 2018 menyaksikan 21 kes sindiket love scam dilaporkan di Sarawak manakala setakat bulan Mac 2019, 24 kes dilaporkan.

Justeru sekiranya berlaku sebarang keraguan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia beri bantuan dan kerjasama bagi menangani isu daripada terus meningkat di masa akan datang.