Jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di India setakat petang ini meningkat kepada 1,075 orang selepas negara itu mengumumkan sekatan kemasukan.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Khamis memberitahu, daripada jumlah itu, 450 orang terkandas di Chenai, Tricy (430 orang), New Delhi (97), Banglore (63 orang), Mumbai (24 orang) dan 11 orang di Cochin.

Kenyataan itu menambah setakat Rabu, 138 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air sementara 405 lagi rakyat India yang berada di Malaysia telah kembali menaiki dua pesawat berasingan.

"Kementerian Luar sedang bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan serta syarikat penerbangan bagi menyelaras urusan pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas di negara itu.

"Ia termasuk perancangan untuk menghantar pesawat sewaan khas ke Chennai dan Tricy bagi membawa pulang mereka yang memegang ticket penerbangan AirAsia," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, K. Saravanan ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, jumlah tersebut besar kemungkinan akan meningkat dalam tempoh terdekat memandangkan masih ada rakyat Malaysia yang mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di India.

"Buat masa ini Malaysia masih mengadakan rundingan dengan kerajaan India bagi menarik balik sekatan yang dikenakan itu buat sementara dan setakat sekarang belum ada sebarang kata putus," katanya.

Saravanan sekali lagi mengingatkan mereka yang terkandas dan ahli keluarga mereka di Malaysia supaya tidak panik memandang pihaknya sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu itu.

Pada Selalu lalu, kerajaan India mengenakan sekatan kemasukan kepada semua penerbangan dari Malaysia, Filipina dan Afghanistan sehingga 31 Mac ini dalam usaha mengekang wabak COVID-19.

Setakat Rabu, India mencatatkan 169 kes COVID-19 dengan 18 kes baharu.

Sejak Selasa, sebuah rakaman klip video memaparkan sekumpulan rakyat Malaysia melakukan bantahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli, tersebar di media sosial.

Turut kelihatan, seorang lelaki berpakaian seragam yang memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia menghentikan semua penerbangan masuk ke negara itu.

Salah seorang rakyat Malaysia yang terkandas memaklumkan mereka sepatutnya menaiki pesawat untuk pulang pada 13 Mac, sebelum dimaklumkan penerbangan mereka ditunda kepada 15 Mac dan kemudian kepada 17 Mac.

Selain itu, mereka juga mendakwa, tidak dibenarkan mendaftar masuk ke mana-mana hotel disebabkan status sebagai rakyat Malaysia, sekali gus menyebabkan kumpulan itu terkandas di lapangan terbang berkenaan.