Jumlah wang rizab kerajaan negeri sehingga 31 Julai lepas adalah sebanyak RM867.5 juta, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata wang rizab itu terdiri daripada pelaburan saham, pelaburan am dan dalam bentuk deposit simpanan tetap di bank-bank tempatan.

Katanya, sehingga 31 Julai lepas, hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan berjumlah RM62.1 juta.

"Ia merupakan pinjaman untuk rancangan perumahan murah awam iaitu berjumlah RM44 juta, rancangan pembangunan perusahaan berjumlah RM1.2 juta serta pelbagai projek membabitkan bangunan kerajaan berjumlah RM16.9 juta," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini bagi menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Kepayang).

Kepada soalan Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) berkaitan pinjaman syarikat berkaitan kerajaan negeri, Zambry berkata kerajaan negeri bagi pihak Lembaga Air Perak telah menjadi penjamin pinjaman projek bekalan air dengan kerajaan persekutuan dengan jumlah baki pinjaman sebanyak RM508.1 juta sehingga 31 Julai lepas.

"Pinjaman tersebut bagi membolehkan penstrukturan semula fasa kedua dan hutang tersebut akan diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) selepas pelaksanaan projek-projek bekalan air di seluruh negeri disiapkan yang melibatkan kerja naik taraf loji bekalan air dan penggantian paip-paip utama," katanya.

Zambry berkata mengenai hasil keuntungan tunai, bagi LAP sebanyak RM795 juta, Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak (PPPNP) sebanyak RM140 juta manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Perak lebih RM100 juta.