Parti pembangkang Thailand yang baharu diharamkan mendakwa bekas pentadbiran tentera junta membantu melindungi kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bernilai berbilion dollar.

Sehubungan itu, Parti Future Forward menggesa rakyat Thailand supaya menuntut kebenaran menjelang perbahasan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha di Parlimen pada Isnin.

Jurucakap parti Pannika Wanich berkata, kerajaan tentera telah bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menahan pemberi maklumat dalam kes 1MDB pada 2015 dan membenarkan penjenayah kewangan beroperasi di Thailand.

"Kerajaan junta inginkan penerimaan antarabangsa selepas merampas kuasa… dan membentuk satu perikatan gelap dengan Malaysia.

"Satu-satunya orang yang boleh mengeluarkan arahan tersebut ialah Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha," kata Pannika pada satu sidang media pada Ahad.

Slogan-slogan yang ditulis pelajar dan penyokong Thailand semasa protes terhadap keputusan mahkamah yang membubarkan parti Future Forward, di Universiti Thammasat, Bangkok, Thailand, 22 Feb, 2020. REUTERS

Pannika juga menyebut mengenai percanggahan melibatkan penangkapan pemberi maklumat warga Switzerland, Xavier Justo, yang ditangkap di Thailand pada 2015 sebagai pemberi maklumat pertama berhubung skandal 1MDB.

Katanya, kerajaan Thailand pada ketika itu juga melindungi dalang utama skandal 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low, dan membenarkannya memasuki negara tersebut sekurang-kurangnya lima kali antara Oktober 2016 dan Mei 2018, walaupun notis merah Interpol dikeluarkan Singapura.

Sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat sudah melancarkan siasatan berhubung kes pengubahan wang haram, salah tadbir kewangan dan jenayah dalam urus niaga 1MDB.

"Sekiranya kami dalam kerajaan, kami akan menyiasat. Kami mahukan kerajaan yang merupakan jiran yang bertanggungjawab dan bertindak dengan bermaruah," ujar Pannika.

Bagaimanapun, kerajaan Thailand menerusi jurucakapnya, Narumon Pinyosinwat menafikan sebarang penglibatan.

"Tuduhan-tuduhan tersebut tidak benar… dan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap sebarang kenyataan palsu yang dibuat,” kata Narumon.

Future Forward, parti ketiga terbesar di Parlimen Thailand, dibubarkan pada Jumaat lalu oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand, berhubung pinjaman daripada pengasasnya, yang merupakan seorang jutawan.

Pembubaran berkenaan disifatkan sebagai cara melemahkan pihak pembangkang yang menentang kerajaan Prayuth yang memegang kuasa pemerintahan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2014 dan memimpin sebuah kerajaan tentera junta sehingga selepas pilihan raya tahun lalu yang dimenangi parti pro-tenteranya.