Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Juruelektrik cipta alat meletak cecair basmi kuman

Juruelektrik cipta alat meletak cecair basmi kuman
Alat meletak cecair pembasmi kuman ciptaan Mohd Nasser Ahmad disiapkannya dalam masa dua jam. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Menyedari kepentingan aspek keselamatan kanak-kanak dan dan guru di taman bimbingan kanak-kanak (tabika) yang mula dibuka sejak Rabu, seorang juruelektrik mencipta alat meletak cecair pembasmi kuman.

Bagi pereka alat itu, Mohd Nasser Ahmad, 37, idea mencipta alat itu timbul selepas memikirkan si cilik sentiasa aktif dan gemar melakukan aktiviti bersama rakan-rakan seterusnya mereka terdedah kepada kuman.
Jelasnya, dia mengambil masa dua jam untuk menyiapkan alat itu dengan menggunakan batang paip PVC yang dipotong dan disambung dengan menggunakan gam.

Katanya, alat berkenaan disumbangkan kepada tabika seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Taman Bersatu, Jitra untuk kegunaan guru dan kanak-kanak di pusat bimbingan prasekolah itu.
Menurut Mohd Nasser, inisiatif itu tercetus selepas dia dan isterinya yang juga guru tabika membincangkan mengenai kepentingan mengambil kira aspek jarak sosial, pergaulan murid serta kebersihan pusat pembelajaran itu.

"Idea hasilkan alat meletak cecair pembasmi kuman ini datang daripada isteri yang meminta saya menggunakan bahan-bahan yang ada dalam rumah hasilkan alat yang boleh bantu anak-anak di tabika, untuk keselamatan anak-anak," kata Mohd Nasser.



Selepas berjaya menghasilkan alat berkenaan sebagai percubaan yang diletakkan di rumah, kata Mohd Nasser, terdapat permintaan daripada tenaga-tenaga pengajar tabika yang berminat dengan alat berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Kemas Daerah Kubang Pasu, Jefry Ismail berkata, pihak pengurusan perlu memainkan peranan utama memastikan pusat pendidikan itu bersedia, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menjamin keselamatan si cilik semasa waktu pembelajaran.

Katanya, perkara itu perlu diambil kira oleh ibu bapa memandangkan ada yang masih ragu-ragu untuk menghantar anak ke tabika, memandangkan negara masih belum diisytiharkan bebas COVID-19.

"Norma baharu merupakan satu benda baharu, jadi di peringkat pemulaan, saya fikir ada cabaran kepada pembantu masyarakat tabika Kemas... tapi saya yakin Insya-Allah di masa akan datang ia (pematuhan SOP) akan jadi amalan kepada kanak kanak," kata Jefry.

Bagi ibu bapa pula, melihat reaksi anak-anak yang sudah bersedia dan bersemangat untuk mengikuti sesi pembelajaran menimbulkan kelegaan buat mereka.

Malah mereka turut berpuas hati dengan SOP yang dilakukan pihak tabika seperti pemeriksaan suhu, penjarakan susun atur meja, pelabelan, penggunaan cecair pembasmi kuman dan maklumat berkaitan COVID-19.

Kawasan larangan juga ditanda dengan tali, petunjuk laluan keluar dan masuk, SOP berkaitan penyediaan makanan serta laluan keluar masuk di pintu pagar tabika.


Tag: juruelektrik, alat meletak cecair pembasmi kuman, taman bimbingan kanak-kanak, tabika, Jabatan Kemajuan Masyarakat, COVID19



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.