Polis mengesahkan punca kematian jurujual wanita yang mayatnya dijumpai di dalam bilik hotel di Jalan Macalister, di sini, semalam adalah disebabkan keracunan karbon monoksida.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang memaklumkan hasil bedah siasat yang dilakukan pada Rabu mendapati mangsa mati disebabkan terhidu gas berkenaan manakala anak lelaki mangsa dilaporkan belum sedarkan diri dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Katanya yang memetik laporan pegawai perubatan, kanak-kanak lelaki malang itu mengalami kerosakan buah pinggang, hati dan paru-paru akibat terhidu asap yang banyak.

Pada Selasa, seorang wanita ditemui maut manakala anak lelakinya dilaporkan kritikal akibat terhidu asap di bilik sebuah hotel dekat George Town.

Lim Bee Tin, 28, dan anak lelakinya, Ong Chee Khai, 10, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil oleh pekerja hotel kira-kira jam 2 petang sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Ketika ditemui, wanita itu disahkan meninggal dunia manakala anaknya yang masih bernyawa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Siasatan di bilik hotel itu menemui sisa kayu arang.

Polis tidak menolak kemungkinan mangsa membakar sejenis dadah dan mengambil barang terlarang itu secara berlebihan.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.