Seorang jururawat di sini terpaksa menanggung kerugian RM22,200 selepas berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warganegara United Kingdom (UK) di media sosial Facebook, bulan lalu.

Kejadian bermula 13 Disember lalu apabila wanita berusia 37 tahun itu berkenalan dengan lelaki dikenali sebagai Ahmad Mohammad melalui laman sosial, Facebook.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, lelaki itu mendakwa dia berasal dari United Kingdom (UK) dan selepas setelah hampir tiga minggu mereka berhubung, suspek menawarkan hadiah sebagai tanda perkenalan.

"Namun mangsa mendakwa dia tidak mahu hadiah berkenaan tetapi suspek tetap menghantar kepada wanita itu kononnya melalui syarikat kurier," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, pada 24 Disember lalu, mangsa kononnya dihubungi oleh wakil dari syarikat airport kurier yang memaklumkan bahawa barangan yang dialamatkan kepada wanita itu berada di syarikat berkenaan.

"Untuk mengambil barang berkenan, mangsa diminta membayar kos penghantaran dan kos penyimpanan. Bermula 24 Disember sehingga 31 Disember lalu mangsa membuat empat kali transaksi ke dua akaun berbeza menjadikan jumlah keseluruhan RM22,200.

"Namun suspek masih lagi meminta wanita itu membuat bayaran. Mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di sini, semalam," jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.