Para jurutera dan pembina dalam sektor kejuruteraan swasta diseru memainkan peranan dalam membantu kerajaan menentang rasuah dalam era Malaysia Baharu ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata pihak berkenaan mestilah bersikap tegas jika berhadapan dengan isu berhubung rasuah.

Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut itu turut berharap syarikat pembinaan jujur dalam melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan pihak berkuasa.

"Ia adalah harapan saya supaya kami dapat mengurangkan gejala rasuah di Malaysia. Oleh itu, bagi pemilik peniagaan di sini, saya ingin menggalakkan anda untuk memainkan peranan.

"Ia memudahkan urusan jika anda tidak melanggar undang-undang. Dan jika anda berhadapan dengan sebarang masalah, jangan takut untuk membuat aduan kepada SPRM atau pihak berkuasa tertentu.

"Itulah peranan anda dalam menangani gejala rasuah dalam industri anda," tegas Hannah.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan UBM ASEAN M&E 2018, pameran mekanikal, elektrikal dan kejuruteraan terbesar di rantau ini hari ini.

Pameran edisi ke-7 tersebut akan berlangsung sehingga 19 Julai ini disertai 460 syarikat pempamer dengan sasaran sebanyak 15,000 pengunjung.