Kerana terlalu percaya dan tidak membuat semakan dengan pihak berkuasa, seorang juruterapi pergigian di sini kerugian RM26,300 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai kastam serta polis.

Kejadian penipuan berkenaan bermula pada Khamis lalu apabila mangsa dihubungi oleh seorang suspek yang menyamar sebagai pegawai kastam dari Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Mangsa diberitahu dia mempunyai kes hutang cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM16,702.38, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Supt Mohd Wazir Mohd Yusof.

Katanya, apabila mangsa menafikan tuduhan itu, dia diminta membuat aduan kepada dua lagi suspek yang menyamar sebagai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Dua suspek berkenaan kononnya membuat semakan terhadap butiran mangsa dan mendapati dia turut terbabit di dalam kes dadah dan penggubalan wang haram," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

BACA: Kerani rugi RM2,000 ditipu Macau Scam

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta untuk membuka akaun CIMB Bank bagi membolehkan wang miliknya diaudit oleh juruaudit dilantik.

"Pada Jumaat lalu, kira-kira jam 2 petang, mangsa membuka akaun CIMB Bank dan kemudian mendeposit wang berjumlah RM26,300 ke dalam akaun berkenaan.

"Mangsa dimaklumkan yang wang itu akan dipulangkan semula pada esok harinya (Sabtu)," katanya

Mangsa turut dihubungi oleh seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis yang meminta dia menyerahkan segala butiran akaun berkenaan bersama nombor keselamatan kad ATM.

Sabtu lalu, kata Mohd Wazir, pengadu menyemak akaunnya dan mendapati tiada wang seperti yang dinyatakan.

Dia lantas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan kerana menipu dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan suspek yang terbabit," katanya.