Seorang jurutol wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kes bayi lelaki yang baru dilahirkan dijumpai cedera di dalam longkang di tempat kerjanya, Januari lalu.

Mastura Shari, 32, yang memakai kemeja-T lengan panjang berwarna ungu dan tudung hitam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mastura didakwa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan yang boleh menyebabkan kematian terhadap seorang bayi lelaki, di Pejabat Tol Bukit Kajang, Hulu Langat di sini antara 4.20 petang dan 5.40 petang, 6 Jan lepas.

Wanita itu yang belum berkahwin didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Balkiah Abdul Yazaid tidak menawarkan sebarang wang jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan beliau memohon jumlah yang tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac untuk sebutan semula kes.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membayar jaminan itu dan dihantar ke Penjara Kajang. Bayi lelaki itu yang kini berusia sebulan lebih dijaga oleh keluarga tertuduh.

Terdahulu wanita itu yang kelihatan lemah dan tidak bermaya kerana masih di dalam pantang hadir seawal jam 8 pagi bersama ibu dan bapanya.

Dia juga sepanjang masa dilihat menutup mukanya dengan sehelai baju sejuk termasuk ketika berada di galeri awam mahkamah sehingga seorang anggota polis menegurnya supaya tidak berbuat demikian.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui bersama uri di dalam longkang berhampiran pejabat Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Silk).

Bayi itu yang mengalami kecederaan luaran dengan kesan lebam dan calar pada paha, rusuk kanan serta pipi ditemui dalam keadaan bogel oleh sepasukan anggota unit peronda lebuh raya di pejabat plaza tol berkenaan. -- Bernama