Seorang juruwang kasino di Genting Highland berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM41,800 lesap selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, penipuan berkenaan bermula Sabtu lalu ketika mangsa yang berusia 43 tahun menerima satu panggilan daripada nombor 223797-7 yang mendakwa pegawai polis.

Katanya, suspek memberitahu mangsa ada memberi kad pengenalannya kepada seseorang untuk membuat sewaan kereta di Johor Bahru.

"Bagaimanapun kereta berkenaan terbabit dalam kemalangan dan pemandunya meninggal dunia. Selepas itu panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai Sarjan Peng Sai Hau.

"Sarjan Peng mendakwa seorang lelaki sudah memasukkan wang ke dalam akuan mangsa sebanyak RM21,000.00. Dia juga menuduh mangsa mempunyai perniagaan dengan lelaki berkenaan yang dikatakan turut terbabit dengan jenayah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, Sarjan Peng kemudian menawarkan bantuan kepada mangsa untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan lelaki berkenaan bersetuju.

"Sarjan Peng meminta mangsa untuk memasukkan kesemua wang di dalam akaunnya iaitu berjumlah RM41,800 ke akaun Maybank yang dikatakan milik peguam untuk kes itu.

"Pada Sabtu lalu, mangsa memasukkan wang sebanyak RM26,800 dan pada Ahad lalu, mangsa sekali lagi memasukkan RM15,000 ke akaun berkenaan di Maybank Genting Highland," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa cuba menghubungi Sarjan Peng tetapi tidak berjaya sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam untuk tindakan lanjut.

"Modus operandi suspek adalah dengan menyamar sebagai pegawai polis dan menawarkan bantuan kepada mangsa sehingga mendorongnya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun suspek," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan semua suspek yang terbabit.