Kabel-kabel punca kuasa yang tidak tersusun serta kanvas khemah yang menghadang air menjadi punca kepada air bertakung di Bazar Ramadan Jalan Raja, ibu negara pada malam Selasa, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Pengarah Jabatan Perancangan DBKL Norhaslinda Nordin, aliran air yang tersekat telah berjaya diatasi dalam tempoh 20 minit.

“DBKL telah menyusun semula water barrier (penghadang air) yang diletakkan di tepi laluan Dataran Merdeka dan kabel-kabel punca kuasa serta membesarkan scupper drain di kiri dan kanan Jalan Raja bagi memastikan aliran air berjalan lancar.

“Keadaan ini tidak akan berulang setelah kerja penyusunan dan kemas kini siap dilaksanakan, Pasukan Petugas Khas yang mengawal serta memantau bazar ini telah diarahkan supaya sentiasa bersedia dan mengambil tindakan pantas jika berlaku kejadian serupa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Pada Selasa, telah tular visual menunjukkan Bazar Ramadan Jalan Raja yang sebelum ini terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), selepas dinaiki air pada sebelah malam susulan hujan lebat sejak 5.30 petang.

Keadaan itu menyebabkan aktiviti perniagaan penyewa lot tapak bazar berkenaan terjejas.

Dalam pada itu, DBKL turut mengingatkan para peniaga supaya tidak meletakkan halangan seperti peralatan mereka yang boleh menyebabkan aliran air tersekat ketika hujan.