Cadangan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan yang ditawarkan oleh institusi kewangan akan dibawa ke mesyuarat kabinet akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, itu antara syor yang telah dibincangkan dan dipersetujui oleh mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi mengenai isu perumahan yang beliau pengerusikan di Putrajaya, hari ini.

Antara syor lain yang turut dipersetujui ialah cadangan pengecualian atau insentif kepada pemaju projek rumah mampu milik; mekanisme kawalan aktiviti spekulasi harga rumah; serta meningkatkan program bantuan pembiayaan oleh kerajaan.

“Perumahan merupakan salah satu keperluan asas dan kerajaan sentiasa komited untuk menyediakan perumahan berkualiti serta mampu milik, supaya kesejahteraan hidup rakyat sentiasa terpelihara,” katanya kepada sidang media.

Mesyuarat itu diadakan susulan keputusan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-129 pada Mei tahun lepas bagi membincangkan koordinasi, penyelarasan pelaksanaan dan penyelesaian kepada isu berkaitan perumahan.