Kabinet akan membincangkan dan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya yang boleh diambil berkaitan masalah jerebu yang melanda seluruh negara pada Mesyuarat Kabinet esok.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan juga sudah menghubungi Indonesia secara rasmi di peringkat kementerian berhubung isu jerebu yang semakin memburuk di negara ini.

“Kami akan mengadakan Mesyuarat Kabinet pada esok (Rabu). Saya yakin Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESSTEC), Yeo Bee Yin akan membentangkan laporan mengenai masalah jerebu ini.

“Kami akan mengumumkan langkah seterusnya selepas mesyuarat tersebut diadakan,” kata Saifuddin selepas majlis perasmian program pertukaran pasukan bola keranjang Malaysia ke China di Wisma Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) pada Selasa.

Turut hadir ialah Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian dan Presiden MABA, Datuk Lua Choon Hann.



BACA: Operasi pembenihan awan hari ini, esok dibatalkan

BACA: Jerebu: 298 sekolah ditutup di Sarawak

Tambahnya, MESSTEC merupakan kementerian yang ditugaskan mengetuai perbincangan tersebut dengan negara jiran Indonesia dan Kementerian Luar hanya akan menjalankan tugas susulan keputusan diambil.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu jerebu rentas sempadan tersebut tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.

“Isu jerebu ini tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia dan hubungan tetap kukuh.

“Kami pernah berdepan masalah ini dan saya pasti kami dapat menyelesaikan masalah in dengan baik,” tambah beliau lagi.