Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz petang tadi singgah di pejabatnya di Kementerian Kewangan di sini bagi mengadakan perjumpaan ringkas bersama warga kerja di kementerian terbabit.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 6 petang, hadir selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Kewangan baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya pada Selasa.

Tengku Zafrul berkata, kedatangannya adalah untuk mendengar taklimat ringkas oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.


“Hari ini sekadar taklimat ringkas dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, yang lain nanti,” katanya ketika ditemui di Lobi Bangunan Kementerian Kewangan.

Pagi tadi beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran di Bangunan Parlimen.

BACA: Saya tekad beri perkhidmatan terbaik demi negara - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul, 46, yang juga bekas Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mempunyai pengalaman melebihi 22 tahun dalam industri kewangan, terutama sekali dalam bahagian pelaburan dan pengurusan perbankan.

Sebelum ini, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Investment Bank Berhad dan Maybank Kim Eng Holdings. Beliau juga pernah memegang jawatan di Citigroup Malaysia, Kenanga Holdings Berhad dan Avenue Securities.