Keputusan Ketua Menteri baharu Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam, mengekalkan barisan Kabinet yang dibentuk Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, adalah bagi memberi tumpuan meneruskan usaha yang ditinggalkan, kata seorang pemimpin parti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumputera Bersatu (PBB) Datuk Stephen Rundi Utom berkata ia akan memberi masa kepada Abang Johari menyelesaikan semua tugas.

"Kita (Sarawak) belum lagi sepenuhnya mencapai penurunan kuasa dan autonomi daripada kerajaan persekutuan dan juga belum melaksanakan sepenuhnya rancangan dalam semua kementerian terutama berkaitan transformasi dan pembangunan ekonomi," kata menteri Pembangunan Kemudahan Utiliti Sarawak itu.

Abang Johari mengekalkan barisan menteri dan menteri muda dalam Kabinetnya serta portfolio masing-masing yang diumumkan semalam. Pada sidang media, beliau berkata akan membuat rombakan yang perlu apabila sampai masanya.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Timbalan Ketua Wanita PBB Datuk Fatimah Abdullah berkata

tidak wujud keperluan bagi ketua menteri membuat rombakan lagi pun pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Tanjung Datu akan diadakan bulan depan.

PRK itu diadakan berikutan berikutan kematian penyandang kerusi, Allahyarham Adenan, yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lepas.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir berkata. tindakan Abang Johari itu merupakan satu penghormatan kepada Allahyarham Adenan.

"Penghormatan yang diberi oleh Abang Johari kepada Adenan bukan sahaja sebagai seorang bekas ketua menteri yang dihormati rakyat Sarawak, tetapi sebagai menghormati rakan sekampung dan rakan seperjuangannya dalam bidang politik," katanya.

Beliau berkata tindakan yang diambil membuktikan sensitiviti Abang Johari.

"Kabinet negeri yang dibentuk Allahyarham Tan Sri Adenan baru sahaja berusia lapan bulan selepas pilihan raya negeri tahun lalu dan mungkin Abang Johari mengambil kira bahawa keperluan untuk rombakan Kabinet itu tidak terdesak," kata Jeniri kepada Bernama.

Beliau berpendapat Abang Johari melihat tanpa rombakan pun tidak akan berlaku kerencatan, tidak akan mengganggu Kabinet negeri untuk berfungsi dengan baik kerana mereka sudah bekerja sebagai satu pasukan untuk meneruskan agenda Adenan.

"Saya percaya apabila sampai masanya Abang Johari perlu membuat perubahan, beliau akan melakukannya mengikut agenda tersendiri," katanya.

-- BERNAMA